Thursday, August 11, 2005

artikle

\(EnTry eDi$i BenC4n4 4LaM)/

Sumber dari emel.. (www.e-bacaan.com)..Silakanlah membaca dengan perasaan insaf...

Bencana Alam
kemurkaan dari langit

Manusia membuat kerosakan di darat dan di laut. Mereka terima keburukan daripada usaha tangan-tangan mereka sendiri dengan terpaksa. Banjir kilat, tanah runtuh, kekurangan hasil dari sungai, laut dan pantai, dan jerebu adalah beberapa contoh yang dialami di negara ini, dan satu contoh dari luar negeri ialah kemusnahan akibat letupan bom dan tembakan daripada pelbagai senjata tentera.

Keburukan dirasakan-Nya agar manusia menyedari apa yang mereka lakukan dan supaya mereka kembali. Firman Tuhan,

"Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri mengusahakan, supaya Dia merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka buat, supaya mereka kembali." (30:41)

Kerosakan yang dilakukan oleh manusia memang ketara. Seburuk itu atau lebih adalah kerosakan akibat bencana alam yang meragut ratusan ribu nyawa manusia dan kemusnahan puluhan ribu tempat tinggal dalam beberapa minit sahaja.

Manusia akan semadikan bencana seperti itu dalam sejarah dan ingatan mereka. Dan juga Allah, yang telah pun semadikan kejadian bencana-Nya di dalam al-Kitab serta memanggilnya pula kemurkaan dari langit.

Kemurkaan dibangkitkan atas beberapa sebab. Antaranya ialah sifat zalim dan fasiq, atau tidak mempedulikan perintah Tuhan, yang diamal oleh manusia. Contoh, menukar kata-kata-Nya sehingga menjadi bukan yang dikatakan-Nya. Firman Allah,

"Kemudian orang-orang yang membuat kezaliman menukar satu ucapan yang bukan dikatakan kepada mereka; maka Kami menurunkan kepada orang-orang yang membuat kezaliman kemurkaan dari langit kerana kefasiqan mereka." (2:59)

Atau, melakukan sesuatu yang sumbang yang melanggar perintah-Nya. Firman Allah,

"Kami akan menurunkan kepada penduduk bandar raya ini kemurkaan dari langit kerana mereka berbuat kefasiqan." (29:34)

Bandar raya tersebut adalah tempat Nabi Lut tinggal. Penduduknya mengamalkan homosekual dan amalan itu dilakukan dengan meluas dan terbuka. Tiada manusia sebelum mereka telah mempunyai keinginan hawa nafsu seperti itu.

Mereka berdosa, lalu diberi amaran. Setelah amaran Alalh tidak dipedulikan, maka datanglah kemurkaan dari langit yang menghapuskan mereka sama sekali, kecuali sedikit yang percaya bersama Lut.

Bandar raya diterbalikkan-Nya, untuk melenyapkan mereka, setelah Teriakan dan angin ribut yang mengandungi batu-batu yang dibakar menghujani mereka bertubi-tubi.

Bencana tersebut dirakamkan di dalam al-Qur'an seperti yang berbunyi,

"Dan Teriakan mengambil mereka pada waktu matahari terbit," (15:73).

"Dan Kami menghujani mereka dengan suatu hujan; maka perhatikanlah kamu bagaimana kesudahannya orang-orang yang berdosa." (7:84)

"adalah buruk hujan orang-orang yang diberi amaran." (26:173)

"Kami mengutuskan kepada mereka angin ribut yang mengandungi batu," (54:34) dan,

"Maka apabila perintah Kami datang, Kami menterbalikkan yang atasnya ke bawahnya, dan menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah liat yang dibakar, bertubi-tubi," (11:82).

Teriakan atau bunyi yang keras itu mungkin datang dari sebuah gunung berapi yang meletup, serta memuntahkan batu-batu yang terbakar.

Teriakan serupa itu telah juga didengar oleh kaum Nabi Shuaib, iaitu Madyan, yang hidup sebelum zaman Nabi Lut. Tetapi bagi Madyan bunyi itu datang dari gempa bumi yang menghapuskan mereka.

Kaum Shuaib zalim, suka menipu sukatan dan timbangan, dan duduk di setiap jalan, untuk mengancam, menghalangi orang-orang yang percaya daripada jalan Allah, menginginkan jalan itu menjadi bengkok, dan mendustakannya. Peranan utama dalam penolakan terhadap seruan Shuaib telah dimainkan oleh pembesar-pembesar kaumnya yang bersifat sombong.

Lantaran itu, mereka dihina dan dihapuskan Allah dengan bencana Teriakan dan gempa bumi. Al-Qur'an menjelaskan,

"Dan apabila perintah Kami datang, Kami menyelamatkan Shuaib dan orang-orang yang percaya bersama dia dengan pengasihan daripada Kami, dan orang-orang yang membuat kezaliman diambil oleh Teriakan; pagi mendapati mereka, di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak." (11:94)

"Tetapi mereka mendustakan dia; maka gempa bumi mengambil mereka, dan pagi mendapati mereka di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak." (29:37).

Lama sebelum Madyan dihapuskan, kaum Tsamud telah dihapuskan juga. Nabinya Salleh. Tsamud adalah kaum yang makmur lagi mahir kerana mampu membina rumah-rumah mereka dengan memahat gunung.

Tsamud telah didatangkan seekor unta betina sebagai bukti yang jelas daripada Allah dan sebagai satu ujian (7:73 dan 54:27). Akan tetapi, pembesar-pembesarnya telah menyombongkan diri, dan menganggap orang-orang yang percaya sebagai hina.

Mereka mencederakan unta tersebut kerana tidak percaya kepada apa yang dibawa oleh Nabi Salleh, memandang rendah kepada perintah Tuhan, dan mereka lebih menyukai kebutaan daripada petunjuk.

Azab yang menamatkan riwayat mereka adalah Teriakan, gempa bumi, dan halilintar. Ayat-ayat di bawah menjelaskannya:

"Dan orang-orang yang membuat kezaliman diambil oleh Teriakan; pagi mendapati mereka, di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak, seolah-olah mereka tidak tinggal di dalamnya. 'Sesungguhnya Tsamud tidak percaya kepada Pemelihara mereka, maka nyahlah Tsamud!'" (11:67-68)

"Kami mengutuskan kepada mereka satu Teriakan, dan jadilah mereka seperti sasak pembuat kandang binatang ternakan." (54:31)

"Lalu gempa bumi mengambil mereka. Pagi, mendapati mereka di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak." (7:78).

"Bagi Tsamud, Kami memberi mereka petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai kebutaan daripada petunjuk, maka halilintar daripada azab yang menghinakan mengambil mereka kerana apa yang mereka mengusahakan." (41:17) dan,

"Kemudian mereka memandang rendah pada perintah Pemelihara mereka, dan halilintar mengambil mereka, dan mereka sendiri memerhatikan, dan mereka tidak boleh berdiri, dan tidak ditolong." (51:44-45)

Nabi Hud telah memberi amaran kepada kaumnya, Ad, di tepi sebuah bukit pasir, beberapa generasi sebelum kaum Tsamud dihapuskan dari muka bumi. Kaumnya mendustakan ayat-ayat Tuhan serta menyekutukan-Nya, kerana mengikuti perintah setiap penguasa yang degil dan menyombongkan diri. Mereka menyangka mereka kuat.

Kerana dosa tersebut Ad ditimpa azab angin yang sangat bising, sangat kencang, yang meniup selama lapan hari dan tujuh malam. Mereka juga disambar oleh halilintar. Ayat berikut mengisahkan angin yang sangat bising:

"Kemudian Kami mengutus kepada mereka angin yang sangat bising pada hari-hari yang malang, supaya Kami merasakan kepada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia; dan azab akhirat adalah lebih rendah lagi, dan mereka tidak ditolong." (41:16)

Angin yang sangat bising itu "meregut manusia seakan-akan mereka tunggul-tunggul batang palma yang membantun" (54:19-20).

Ketika ia datang mereka nampak seperti awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, lalu mereka berkata, "Inilah awan yang akan memberi kami hujan!" Tidak, tetapi ia adalah "angin yang di dalamnya azab yang pedih, membinasakan segala sesuatu dengan perintah Pemeliharanya. Pada waktu pagi, tiada yang dapat dilihat melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Begitulah Kami membalas kaum yang berdosa." (46:24-25)

Penjelasan mengenai pemusnahan Ad diteruskan:

"Dan pada Ad, apabila Kami mengutus kepada mereka angin yang membinasakan, yang tidak meninggalkan sesuatu apabila ia datang kepadanya, tetapi membuatnya seperti benda yang reput." (51:41-42)

"Dan bagi Ad, mereka dimusnahkan dengan angin yang sangat bising, yang sangat kencang. Dia memaksakan ke atas mereka tujuh malam dan lapan hari terus menerus, dan kamu melihat kaum ketika itu bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul batang pohon-pohon palma yang runtuh." (69:6-7) dan,

"Tetapi jika mereka berpaling, maka katakanlah, 'Aku memberi amaran kepada kamu dengan halilintar yang serupa halilintar Ad dan Tsamud.'" (41:13)

Dengan angin yang begitu dahsyat dan sambaran halilintar maka musnahlah kaum Ad.

Kaum yang tertua dicontohkan di sini ialah kaum Nabi Nuh. Seperti Nabi-Nabi lain, Nuh menyampaikan kepada kaumnya mesej-mesej Allah tetapi pembesar-pembesar mendustakannya. Mereka mengeji Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya. Lalu kecemasan yang besar, iaitu banjir, meliputi mereka bersama orang-orang yang tidak percaya, termasuk anak Nabi Nuh sendiri.

Ayat-ayat berikut meringkaskan kisah Nabi Nuh yang kaumnya ditenggelamkan oleh banjir:

"Dan diwahyukan kepada Nuh, 'Tiada seorang pun daripada kaum kamu akan mempercayai, kecuali orang yang telah percaya' .... Buatlah kapal di bawah mata (pengawasan) Kami, dan seperti wahyu Kami .... Dan dia membuat kapal; dan setiap kali pembesar-pembesar kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya." (11:36-38)

"Sehingga, apabila perintah Kami datang, dan tanur mendidih, Kami berkata, 'Bawalah di dalamnya dua daripada tiap-tiap jenis, dan keluarga kamu, kecuali orang yang kepadanya perkataan telah pun diucapkan, dan sesiapa yang percaya.' Dan tidak ada yang percaya bersamanya melainkan sedikit." (11:40)

"Maka ia berlayar dengan mereka di tengah-tengah gelombang yang seperti gunung-gunung;" (11:42) dan,

"Kami menenggelamkan orang-orang yang tinggal." (26:120)

Air banjir yang mampu menimbulkan gelombang setinggi gunung itu datang dari langit dan bumi. Firman-Nya,

"Kemudian Kami membukakan pintu-pintu langit dengan air tercurah, dan membuatkan bumi memancarkan mata-mata air, dan air-air bertemu untuk satu urusan yang ditetapkan." (54:11-12)

Maka musnahlah kaum Nuh yang mendustakan ayat-ayat Allah.

Satu lagi bencana banjir disebut di dalam al-Qur'an. Ia diutus kepada orang-orang yang tidak percaya dan berpaling daripada ayat-ayat Tuhan, iaitu orang-orang Sabak, yang di kiri dan kanan mereka dipenuhi dengan kebun. Kisah banjir yang meliputi kebun mereka berbunyi,

"Tetapi mereka berpaling; maka Kami mengutuskan kepada mereka Banjir Arim, dan Kami menukarkan kedua-dua kebun mereka dengan dua kebun yang mempunyai hasilan yang pahit, dan cemara, dan di sana sini, sedikit pohon bidara." (34:16)

Dalam kisah Firaun pun disebut bencana banjir, sebagai satu daripada ujian Allah supaya dia dan keluarganya percaya kepada ayat-ayat-Nya (7:133), sebelum dia dan tenteranya ditenggelamkan di laut.

Antara contoh-contoh lain di dalam al-Qur'an mengenai kemurkaan dari langit akibat ketidakpercayaan manusia yang ingin disebut di sini ialah Karun, orang kaya yang ditelan bumi (28:81), dan orang-orang yang bersama Nabi Musa yang disambar halilintar apabila mereka berkata "Wahai Musa, kami tidak akan mempercayai kamu sehingga kami melihat Allah dengan nyata" (2:55).

Bencana-bencana alam yang menimpa orang-orang yang hidup sebelum al-Qur'an diturunkan terus berlaku. Namun, sebelum mereka berlaku Allah memberi amaran. Antara amaran-amaran yang dijelaskan-Nya di dalam al-Qur'an adalah:

"Maka berjaga-jagalah akan satu hari apabila langit mendatangkan asap yang jelas, menutupi manusia; ini adalah azab yang pedih." (44:10-11)

"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan mengutus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu, kemudian kamu akan mengetahui bagaimanakah dengan amaran-Ku?" (67:17)

"Dan Dia menurunkan dari langit, gunung-gunung, yang di dalamnya hujan batu, supaya Dia menimpakan kepada siapa yang Dia mengkehendaki dengannya, dan memalingkannya daripada siapa yang Dia mengkehendaki;" (24:43).

"atau Kami menjatuhkan kepada mereka serpihan dari langit." (34:9)

"Adakah mereka berasa aman, orang-orang yang membuat tipu daya yang jahat, bahawa Allah tidak akan membuatkan bumi menelan mereka, atau bahawa azab tidak datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak menyedari?" (16:45)

"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat bumi menelan kamu sedang ia bergoncang?" (67:16)

"Katakanlah, 'Apa pendapat kamu, jika pada waktu pagi air kamu meresap ke dalam tanah, kemudian siapakah yang mendatangkan kepada kamu air yang mengalir?'” (67:30)

"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan membuat pantai menelan kamu, atau mengutus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu, kemudian kamu mendapati tiada wakil bagi kamu? Atau, adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan mengembalikan kamu ke dalamnya pada kali yang kedua, dan Dia mengutuskan kepada kamu angin taufan, dan menenggelamkan kamu kerana ketidakpercayaan kamu, kemudian kamu mendapati tiada pendakwa untuk kamu terhadap Kami?" (17:68-69)

"Tidakkah mereka melihat bagaimana Kami datang ke bumi dengan menguranginya di tepi-tepinya?" (13:4)

Dan khas bagi penduduk bandar raya:

"Adakah penduduk bandar-bandar raya berasa aman bahawa bencana Kami tidak akan datang kepada mereka pada waktu malam sedang mereka tidur? Adakah penduduk bandar-bandar raya berasa aman bahawa bencana Kami tidak akan datang kepada mereka pada waktu pagi sedang mereka bermain-main?" (7:97-98)

Amaran atau peringatan daripada Allah tidak diambil dengan sambil lewa. Apa yang dijanjikan pasti berlaku, seperti yang berlaku kepada kaum-kaum yang telah diceritakan tadi. Maka berjaga-jagalah kerana alam akan turut murka apabila manusia membuat sesuatu yang dimurkai Allah. Seperti yang berlaku apabila manusia mengatakan Allah mempunyai seorang anak:

"Hampir-hampir langit pecah kerananya, dan bumi terpecah belah, dan gunung-gunung jatuh kehancuran, bahawa mereka mendakwakan bagi Yang Pemurah seorang anak," (19:90-91).

Oleh yang demikian, pujilah Allah dan ikutlah petunjuk Kitab-Nya, supaya bencana alam atau kemurkaan dari langit tidak lagi menyentuh bumi yang indah ini. Sebagai penutup, diturunkan sebuah firman Tuhan yang berbunyi,

"Segala puji bagi Allah yang menurunkan kepada hamba-Nya Kitab, dan tidak membuatkan padanya sebarang kebengkokan, yang betul, untuk memberi amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk memberi berita gembira kepada orang-orang mukmin yang membuat kerja-kerja kebaikan, bahawa bagi mereka upah yang baik," (18:1-2).



Penulis Bacaan
7 Januari 2005