Friday, September 09, 2005

balqis

(Balqis, Ratu Saba’ )

Aku tertarik dengan lagu Balqis yang di nyanyikan oleh UNIC... lirik yang mengimbau sejarah Nabi Sulaiman A.S dan Ratu Balqis... memang best.. kat sini ada sepintas lalu kisah Nabi Sulaiman A.S ngan Ratu Balqis... selamat membaca.

Kisah Balqis iaitu seorang ratu yang memerintah kerajaan Saba’ disebut dalam Surah al-Naml 27, ayat 27-44. Ibu kota Saba’ ialah Ma`arib yang terletak berhampiran kota San’a, ibu kota Yaman sekarang. Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaaan dan kehebatan. Segalanya itu ialah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya. Walau bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman dengan Allah s.w.t. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah s.w.t. Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman a.s. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman a.s. supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah.

Dalam Surah al-Naml ayat 28, disebut:
Terjemahan : “Pergilah dengan (membawa) suratku ini lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”.
Kewibawaan Ratu Balqis sebagai pemimpin terserlah apabila beliau mengamalkan prinsip syura dengan pembesar-pembesarnya iaitu setelah menerima surat daripada Nabi Sulaiman a.s. Ini dinyatakan oleh al-Qur’an:
Terjemahan : “Berkata dia (Balqis), `Wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini), aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku).’
Mereka menjawab, `Kita ialah orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang tinggi (dalam peperangan) dan keputusan berada di tanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan.’
(Surah al-Naml 27:32-33)
Ratu Balqis seterusnya menyatakan pandangannya bahawa setiap pemerintah (raja) yang mahu menakluki sesebuah negeri akan membinasakannya dan menjadikan penduduknya hina. Pada fikirannya itulah yang akan menimpa kerajaan Saba’. Oleh itu baginda membuat keputusan supaya dikirimkan urusan yang membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman a.s.
Apabila utusan tersebut sampai kepada Nabi Sulaiman a.s., baginda berkata, “Adakah (wajar) kamu menolong aku dengan harta? Apa yang diberikan Allah kepadaku adalah lebih baik daripada apa yang diberikanNya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiah kamu. Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan pasukan tentera yang mereka tidak berkuasa melawannya dan kami pasti akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan) yang hina dina.” (Surah al-Naml 27:36-37)
Lantas Nabi Sulaiman menanyakan kesanggupan pembesar-pembesarnya untuk membawa singgahsana Ratu Balqis kepada baginda. Setelah dibawa sebelum sempat matanya berkedip, baginda memerintahkan supaya singgahsana tersebut dirobohkan untuk menguji sama ada Ratu Balqis masih mengenali singgahsananya itu atau tidak.
Kecenderungan tulus ikhlas Ratu Balqis untuk menyahut kebenaran dan seruan suci Nabi Sulaiman juga disebutkan oleh Al-Qur’an:
Terjemahan : “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku. Kami telah diberikan pengetahuan sebelumnya* dan kami ialah orang yang berserah diri”.
(Surah al-Naml 27:42)
(*Maksudnya tentang kenabian Sulaiman a.s. Ratu Balqis telah mengetahui kenabian Sulaiman a.s. sebelum singgahsananya dipindahkan dari Saba’ ke Palestin dalam sekelip mata.)
Ratu Balqis turut mengakui kesilapan dirinya sebagai hamba Allah yang menzalimi diri sendiri kerana tidak beriman dengan-Nya. Dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati, Balqis pun menyatakan keimanannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Tuhan semesta alam.
Terjemahan : “Dikatakan kepadanya, `Masuklah ke dalam istana.’ Maka apabila dia melihat lantai istana itu, dianggapnya ia kolam air yang besar dan disingkapkannya kedua-dua betisnya. Berkatalah Sulaiman, `Sesungguhnya ia merupakan istana yang licin yang diperbuat daripada kaca.’ Berkatalah Balqis, `Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.’
(Surah al-Naml 27:44)

No comments: